
Alhamdulillah.
Berjaya juga akhirnya! Selepas menghadiri Kelas Intensif Jahitan Baju Kurung Dewasa baru-baru ini, saya berjaya menjahit baju kurung sendiri dengan menggunakan teknik yang betul. Hasil dari tunjuk ajar Kak Dila Aris, seorang tukang jahit yang berpengalaman. Benar kata orang, kalau mahu belajar sesuatu biarlah berguru. Berguru dengan orang yang arif dalam bidangnya, banyak ilmu jahitan yang saya dapat.
Dalam kelas ini, saya diajar langkah demi langkah menjahit baju kurung, dari melukis pola, mengambil ukuran badan, menggunakan baju contoh, menggunting kain sehinggalah sampai siap sepasang baju kurung.
Selain saya, ada seorang lagi pelajar. Usahawan muda dari Teluk Intan yang cuba berjinak-jinak dalam dunia jahitan. Walaupun tiada asas dalam menjahit, dia berjaya menyiapkan sepasang baju kurung dalam masa dua hari. Saya kagum dengan semangat dan keinginannya untuk belajar.

Kemasan pada lubang leher dan jahitan butang pada baju kurung. Untuk kemasan pada lubang leher, saya belajar jahitan silang pangkah.

Saya juga belajar menjahit rumah butang menggunakan jahitan insang pari.

Jahitan silang pangkah untuk kemasan pada bahagian kelepet baju.

Bahagian pinggang kain guna keseluruhan getah.
Tak sabar saya nak menjahit baju kurung seterusnya. Kena praktikkan segera apa ilmu yang dipelajari, nanti tunggu lama-lama mesti lupa.
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .
KELAS INTENSIF JAHITAN BAJU KURUNG DEWASA ini diadakan di Ipoh pada hujung minggu sahaja. Satu sesi kelas hanya dua orang pelajar, jadi sesi pembelajaran di antara pengajar dan pelajar lebih mudah dan jelas. Walaupun sudah habis kelas, kita boleh bertanya dengan Kak Dila jika masih ada yang tidak faham. Selain pakej jahitan baju kurung ada juga pakej-pakej lain seperti baju kurung moden dan jubah.
Pada sesiapa yang berminat untuk belajar menjahit bersama Kak Dila, lebih-lebih lagi yang tinggal berdekatan di Ipoh, boleh singgah di blog Kak Dila atau Facebook Page Flora Fancy Fabric untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai kelas intensif ini.
Selamat menjahit semua!