I’m Back!

Assalamualaikum. Hai, pembaca semua!

Hampir lapan tahun. Lama, kan? Itulah tempoh blog ini terabai sejak kali terakhir saya menulis pada 2017. Kalau blog ini boleh bercakap, mungkin dia dah menjerit, “Hai mak cik, lama tak nampak!”

Setiap tahun saya berazam nak menulis semula di sini. Tahun berganti tahun… sampailah hari ini. Akhirnya, I’m back!

Walaupun blog ini sunyi tanpa entri baru, minat saya tidak pernah berhenti. Saya masih menjahit setiap kali ada masa terluang. Sambil-sambil itu, saya bereksperimen dengan air dry clay, belajar bookbinding dan macam-macam lagilah. Tapi, itulah nak menulis tentangnya… aduh, berat betul!

Dalam tempoh itu juga, kerjaya saya berubah arah. Dulu bekerja dalam bidang seni bina, tapi sekarang sepenuh masa dalam bidang ilustrasi pula, khususnya buku bergambar kanak-kanak. Alhamdulillah, dua buah buku saya telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan. Tulis buku!

Dengan perubahan ini, blog ini juga akan mengalami sedikit transformasi. Saya dah tukar nama blog. Dari ‘Oh, Mesin Jahitku!’ kepada ‘Nurshuhada Studio’. Selain jahitan serta kraf, saya juga akan berkongsi sedikit sebanyak tentang ilustrasi. Memang pada awalnya, tujuan blog ini adalah untuk merakam perjalanan dan eksplorasi saya dalam dunia kreatif – dan saya harap ia boleh jadi tempat inspirasi untuk pembaca juga. Semoga 2025 ini saya diberi kekuatan dan kerajinan untuk terus menulis di sini.

Akhir sekali, selamat datang ke Nurshuhada Studio!

Kepada yang pernah mengikuti blog ini, saya ucapkan terima kasih kerana masih sudi singgah!

Jumpa lagi, 
Nurshuhada


DAPATKAN BUKU KANAK-KANAK INI!

Ada sesiapa di sini yang suka mengumpul buku bergambar kanak-kanak? Atau nak tambah koleksi buku untuk anak-anak?

Sejak mula menulis dan mengilustrasi buku kanak-kanak, saya sendiri jadi seronok mengumpulnya. Jika berminat untuk memiliki buku-buku saya ini, boleh klik link pada tajuk buku. Terima kasih!

Harapan saya, pembaca juga suka buku-buku ini sepertimana saya seronok menulis dan melukisnya.

Yasmin dan Adam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2024
Idea Asal: Fadhlina Sidek, Cerita dan Illustrasi: Nurshuhada Abdullah

 Siri Fenomena Alam: Kembara Musim Panas Sara, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2023

Ulasan Kelas Asas Blog Dan Penulisan: Manfaat Yang Saya Perolehi

Ini entri yang ke-44, bermakna ini adalah entri terakhir saya dalam Kelas Asas Blog Dan Penulisan sesi Mei bersama Puan Masayu Ahmad selaku pengasas Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR).

Ini kali kedua saya berada di dalam Kelas Asas Blog Dan Penulisan. Sebelum ini, saya bersama Puan Azura Abdullah, salah seorang pengurus online ABDR. Kali pertama saya mengambil masa yang sangat lama, hampir setahun untuk menyiapkan 44 entri disebabkan saya tidak konsisten dan tidak fokus dengan tugasan. Jadi, saya masuk semula kelas ini kali kedua untuk memperbaiki kelemahan saya.

Manfaat yang saya perolehi dengan mengikuti kelas ini. Antaranya;

  • Membiasakan diri menulis catatan harian dengan spontan. Menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa terlalu memikirkan ayat yang sesuai atau ayat yang sedap dibaca.
  • Belajar menjadi peka dengan keadaan sekeliling walaupun sekecil-kecil hal. Setiap peristiwa yang berlaku boleh menjadi idea untuk menulis dan menukarkan ia kepada impak positif. Sebagai contoh, di dalam catatan harian, saya mengemas rumah dan apa aktiviti mengemas yang telah saya lakukan. Dari situ, dapat idea untuk menulis entri berkenaan pentingnya menjaga kebersihan, tip rumah sentiasa kemas serta banyak lagi.
  • Belajar menulis dengan laju. Cabaran menyiapkan 44 entri selama 20 hari memaksa diri untuk berfikir, menulis supaya setiap hari ada entri terkini di blog. Walaupun kadang-kadang saya terbabas disebabkan kesibukan kerja. Tapi untuk menyiapkan entri di dalam masa yang ditetapkan memaksa saya berusaha mencari idea untuk menulis. Secara tidak langsung dalam satu hari saya belajar untuk menulis sehingga lima entri.
  • Membuang sifat ‘perfectionist’. Aku mahu sempurna tetapi manusia tidak sempurna. Cikgu ajar tulis dulu dan terus publish. Kemudian baru edit mana yang perlu. Jika tunggu sempurna, mahu ayat sedap dibaca sampai bila entri itu tidak akan dikongsikan. Sudahnya, ia terperap saja di dalam draf. Macam cikgu cakap, nama pun kelas asas penulisan, kita belajar asas bukan terus menjadi pakar.
  • Belajar menulis dengan ejaan penuh. Menghormati bahasa ibunda sendiri. Ejaan penuh memudahkan pembaca untuk baca dan faham apa yang cuba disampaikan.

Ilmu menulis sangat berguna bagi saya yang baru dalam dunia penulisan ini. Sebelum ini, saya tidak minat menulis. Disebabkan saya mempunyai blog untuk berkongsi minat dengan pembaca, mahu atau tidak saya perlu menulis. Dari situ, saya mengetahui kewujudan Akademi Bekerja Dari Rumah ini.

Selain itu, saya juga belajar bagaimana mempunyai blog yang mesra pembaca dan boleh menarik orang untuk suka membaca di blog kita. Bagaimana mahu membina jenama diri di alam maya dengan memfokuskan minat, kemahiran dan pengalaman kita. Belajar bagaimana menukar pembaca kepada pembeli, secara tidak langsung dapat menjadikan blog sebagai sumber pendapatan. Paling seronok kelas ini dijalankan 100% secara online dan masa adalah fleksibel. Sesuai bagi saya yang masih bekerja.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad. Terima kasih atas ilmu yang diberikan. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada puan dan dipermudah urusan untuk terus mencurah ilmu.

Lapik Gelas Daripada Kain Perca

Aktiviti hujung minggu hari itu, semasa mengemas tak sedar banyak lebihan kain yang telah saya kumpul. Semasa menjahit rasa sayang nak buang. Daripada simpan, baik jahit sahaja kain perca ini. Hasilnya, dapat dua keping alas gelas yang bersaiz 5 inci x 5 inci. Cuma cantum-cantumkan saja kain perca tersebut dan jahit. Tidak makan masa yang lama untuk menjahitnya. Walaupun hanya kain perca tetapi ia mampu menghasilkan satu projek jahitan yang menarik dan comel!

Scroll to Top