Setting Jahitan Tepi Biasa/Kasar Mesin Jahit Brother 404D

Minggu lepas, saya hantar mesin jahit tepi ke kedai untuk diservis. Sempat juga pemilik kedai berkongsi cara setting jahitan tepi kasar dan halus untuk mesin jahit ini.

Ini adalah setting untuk jahitan tepi biasa/kasar. Menggunakan 1 jarum (jarum di sebelah kanan) dan 3 benang.

Setting: 4, 4, 4
i) Tulisan berwarna pink mewakili jarum sebelah kanan
ii) Tulisan berwarna hijau mewakili upper looper
iii) Tulisan berwarna biru mewakili lower looper
Setting untuk stitch length: 3
Setting untuk width: 5 1/2
Setting untuk differential feed adjustment: 1.0
Kain yang berwarna coklat adalah hasil jahitan tepi biasa/kasar

Untuk setting jahitan tepi halus seperti kain yang berwarna pink di atas (gambar) sila rujuk entri Setting Jahitan Tepi Halus Mesin Jahit Brother 404D.

Dekorasi Pasu Kaison

Ada masa terluang ini, saya dapat menyiapkan satu projek dekorasi untuk menceriakan ruang meja saya, tempat di mana saya mencari inspirasi.

Jom, saya kongsikan cara membuatnya! Sangat mudah dan cepat.

Alat-alatan:
1. Pasu hiasan yang dibeli di KAISON
2. Masking tape saiz 1 inci
3. Pen Artline hitam (tak semestinya guna pen jenis ini, pen lain pun boleh)
4. Marker (saya gunakan Fabric Marker Sharpie sebab itu yang ada di rumah)
5. Gunting
6. Cutting Mat

Pertama sekali, potong masking tape supaya dapat bentuk segiempat sama. Lepas itu, potong kepada dua supaya dapat bentuk segitiga pula.

Kemudian, susun dan tampal di atas cutting mat. Kalau tak ada cutting mat boleh juga tampal atas permukaan yang licin supaya segitiga tadi mudah untuk ditarik semula.

Nak tampal terus atas pasu pun boleh. Lagi cepat.

Untuk saiz masking tape 1 inci ini, perlu ada 32 keping bentuk segitiga untuk memenuhkan ruang pasu KAISON tadi.

Seterusnya, lukis corak dan warnakan di atasnya mengikut kreativiti sendiri.

Akhir sekali, tampal pada pasu tadi. Satu baris menegak boleh dapat empat keping bentuk segitiga.

Susun mengikut cara lain pun boleh. Tidak berdosa.

Dah siap. Kacang saja kan? Selamat mencuba!

Tutorial Sarung Tisu Mini

Projek jahitan ini tidak memerlukan kain yang banyak, guna kain perca pun boleh.

Alat-alatan:
1. Peralatan asas menjahit
2. Kain cotton berukuran 5.5 inci (P) x 6.5 (L) untuk bahagian luar sarung tisu
3. Kain cotton berukuran 5.5 inci (P) x 7.5 (L) untuk bahagian dalam sarung tisu

* Basi jahitan 1/4 inci
* P-Panjang, L-Lebar

Kain A untuk bahagian luar sarung tisu. Manakala kain B untuk bahagian dalam sarung tisu.

Temukan permukaan hadapan kain A dan B seperti dalam gambar. Samakan di bahagian hujung kain dan jahit. Saiz kain B memang akan lebih panjang
sedikit.

Kemudian, samakan di bahagian hujung satu lagi dan jahit.

Selepas jahit kedua-dua hujung kain ia akan jadi seperti di atas (gambar).

Sekarang, permukaan belakang kain berada di bahagian luar. Jadi, kita terbalikkan supaya permukaan hadapan kain yang akan berada di bahagian luar.

Ia akan jadi seperti di atas (gambar). Selepas itu, seterika kain supaya lebih rata dan kemas.

Kemudian lipatkan kain kepada dua bahagian untuk dapatkan garisan tengah.

Ambil bahagian hujung kain dan lipatkan ke arah garisan tengah tadi. Ulangi proses yang sama untuk bahagian hujung satu lagi.

Pinkan supaya lipatan tidak terbuka. Jahit di kedua-dua hujung kain seperti yang ditunjukkan di dalam gambar.

Jahit tepi pada hujung kain supaya ia tidak berbulu nanti. Boleh guna jahitan zig zag jika tiada mesin jahit tepi.

Di bahagian yang ada tanda anak panah, jahit tindih sebanyak dua kali supaya bukaan itu nanti tidak mudah tetas.

Dah siap. Kemudian, terbalikkan kain supaya bahagian dalam berada di luar…

… seperti ini! Ini hasilnya. Dah boleh letak tisu di dalamnya.

Selamat mencuba!

Scroll to Top