Tutorial Menceriakan Pasu SKURAR IKEA

Alat-alat yang diperlukan ialah marker hitam Sharpie, pensel, pemadam, dan pasu SKURAR dari IKEA yang sedia ada di rumah. Permukaannya yang licin memudahkan proses melukis.

Corak geometri adalah pilihan yang selamat. Lukis garisan dan bulatan sehingga membentuk satu corak, kemudian ulangi lukisan tersebut. Warnakan dengan warna hitam di bahagian yang dirasakan sesuai.

Pertama sekali, lukis dahulu corak yang kita mahu. Gunakan pensel supaya mudah padam.

Kemudian, ulangi langkah tersebut menggunakan marker hitam Sharpie. Jika suka, boleh juga menggunakan warna lain.

Siap sudah!

Kini pasu SKURAR IKEA siap dihias dengan sentuhan peribadi. Semoga tutorial ini membantu pembaca menceriakan ruang dengan cara yang mudah dan menyeronokkan. Selamat mencuba!

Kotak Fabrik

Bila hari tak bekerja, hati ini mulalah bersemangat untuk menjahit!

Nah, siap dua kotak fabrik daripada kain cotton! Boleh digunakan untuk simpan barang atau sebagai hiasan. Saiznya 11 cm panjang x 10 cm lebar. Tingginya pula ialah 12 cm serta 15 cm.

Masa menjahit? Lebih kurang 20 minit. Cuma, proses memilih kain dan menggunting itu yang ambil masa. Itu belum lagi tersilap ukur dan kena buat semula. Penat, ya ampun! Tapi, puas hati bila tengok hasilnya.

Saya rujuk tutorial dari Youtube. Nak buat pun senang saja. Taip sahaja ‘fabric box tutorial’, keluar berderet-deret tutorial.

Akhir kata, selamat menjahit semua!

Patchwork Pouch Bag… Lagi?

Nampak tak, kawan-kawan? Bila sudah mula menjahit, memang susah saya nak berhenti!

Sambungan dari projek semalam, hari ini saya jahit lagi patchwork pouch bag. Sama saja macam sebelum ni, saya guna kain perca yang ada. Memang saya tak ada banyak stok kain, projek jahitan ini pula memang untuk diri sendiri, guna saja apa yang ada.

Saiz pouch bag kali ni lebih besar, 9 inci x 11 inci. Yang menariknya, saya letak lace sebagai hiasan tambahan. Pada mulanya, teringin juga nak jahit lace di bahagian atas, tapi bila difikirkan semula, rasa macam melebih-lebih pula. Jadi, saya biar saja macam ini.

Ini hasilnya!

Dua hari cuti, dapat jahit dua beg. Alhamdulillah, masih diberi kudrat untuk buat apa yang saya suka – menjahit!

Selagi ada cuti, saya manfaatkan sepenuhnya untuk beraktiviti. Hari bekerja tak boleh fokus macam ini dah.

Esok masih cuti, masa untuk berehat dan tenangkan fikiran pula. Selamat berhujung minggu semua!

Scroll to Top