Patchwork Pouch Bag

Hampir empat bulan rasanya tak sentuh mesin jahit. Wah, lama betul!

Hari ini cuti umum sempena Hari Malaysia. Maka, saya paksakan diri untuk menjahit semula. Jahitlah apa-apa pun, asalkan mesin jahit tak jadi perhiasan yang berdebu. Kadang-kadang, waktu cuti macam inilah baru boleh tenang, baru boleh fokus.

Patchwork pouch bag ini berukuran 10 inci x 6.5 inci, cukup comel dan praktikal untuk simpan pelbagai barang. Kalau nak simpan telefon, boleh tambah lapisan batting di dalam beg. Batting ini tebal dan lembut, jadi ia akan melindungi telefon atau barang berharga lain dalam beg dengan lebih baik.

Yang paling seronok, bila tengok beg ini siap, rasa puas dan teruja. Tiba-tiba rasa nak jahit beg lagi, dan lagi. Bila mood rajin datang, semua benda nampak lebih mudah. Tak sabar nak mula projek seterusnya!

Tempahan Beg Untuk Monopod

Tempahan beg ini adalah untuk menyimpan monopod supaya mudah dibawa ke mana-mana apabila bercuti.

Cara menjahitnya sama seperti beg jerut (drawstring bag), cuma saiznya lebih kecil dan panjang, sesuai mengikut saiz monopod. Saiz beg ini ialah 26 cm x 9 cm.

Hanya satu gambar yang sempat diambil sebagai simpanan. Kalau tiada gambar, macam mana nak update dalam blog ini, kan?

Selepas ini, beg perlu dibungkus dengan baik untuk dihantar ke pejabat pos. Semoga bungkusan selamat sampai kepada pemiliknya

Quilting Pouch Bag

Pouch bag ini sedikit berbeza kerana ia menggunakan zip lace. Selalunya saya menggunakan zip biasa sahaja, kali ini saya cuba zip lace kerana nampak lebih menarik.

Saya menggunakan kain linen di bahagian luar dan kain cotton di bahagian dalam. Kain dijahit menggunakan teknik jahitan quilting. Saya jahit secara bersilang-silang sehingga nampak corak seperti diamond.

Batting diletakkan di antara kedua-dua kain (antara kain linen dan kain cotton) bertujuan untuk memberikan struktur pada permukaan pouch bag, supaya ia tidak meleper apabila ditegakkan.

Pouch beg ini bersaiz lebih kurang 6 inci panjang di bahagian bawah dan 8 inci di bahagian atas. Tingginya pula lebih kurang 5 inci.

Saya menggunakannya untuk menyimpan pelbagai peralatan elektronik seperti pendrive, pengecas telefon, MP3, dan banyak lagi. Semua barang tersebut diletakkan di dalam satu beg supaya mudah untuk dibawa kemana-mana.

Saya rujuk tutorial dari Youtube.

Baiklah, jumpa lagi di entri seterusnya!

Scroll to Top