Projek Kraf Felt Saya: Pada Suatu Masa Dulu

Sebelum minat menjahit, saya bermula dengan aktivitik kraf felt sekitar tahun 2012. Masa itu, sempat juga saya mengambil tempahan. Gambar di atas adalah kraf felt pertama saya – keychain nama yang saya buat untuk adik. Budak baru belajar, jadi jahitan insang pari pun nampak tak kemas dan tak seimbang. Gam pula comot di sana sini. Gambar pun kabur dan gelap.

Lama-kelamaan, selepas banyak kali mencuba, ada sedikit peningkatan. Adik pula bawa keychain ini ke sekolah dan ramai yang minat nak tempah. Budak-budak sekolah memang suka benda-benda comel macam ini. Tapi itu dulu, sekarang ni saya dah jarang buat kraf felt lagi. Lebih banyak tumpukan perhatian pada jahitan.

Itulah sedikit cerita tentang perjalanan saya dalam dunia kraf felt. Ini antara koleksi kraf felt yang pernah saya hasilkan.

Dekorasi Botol Kaca Kosong

Assalamualaikum semua,

Projek kraf pada permulaan tahun 2016. Selalu tengok botol tempat menyimpan gunting ini kosong saja, jadi hari ini saya nak bagi dia ‘pakai baju’ pula. Sekurang-kurangnya, ceria sikit mata saya tengok warna-warni macam ini. Nak buat pun mudah saja. Kain dengan pelbagai corak digunting panjang-panjang, kemudian lilitkan pada botol. Tampal menggunakan gam UHU. Kalau ada tali atau lace, boleh buat riben. Ikut kreativiti masing-masing. Dah siap!

Ini pula hasil kerja tangan adik saya. Dia pun teringin nak mencuba. Tak sangka, dia pun minat dengan seni kraf. Cara yang sama digunakan, cuma kali ini ada tambahan butang-butang dengan pelbagai warna dan corak sebagai hiasan.

Selamat mencuba!

Projek Jahitan Skirt A-Line

Skirt potongan A, atau dikenali juga sebagai Skirt A-line, adalah antara skirt yang menjadi kegemaran saya. Ia dipanggil A-line kerana bentuknya yang seperti huruf A, kembang di bahagian bawah.

Skirt A-line ini merupakan projek jahitan hujung minggu saya baru-baru ini. Inilah hasilnya. Hasil yang diperoleh daripada ilmu jahitan yang dicedok sana sini. Terima kasih saya ucapkan kepada blogger dan otai-otai jahitan yang sudi berkongsi ilmu jahitan mereka.

Saya buatkan poket di bahagian kiri dan kanan skirt. Kemudian, pada bahagian pinggang, saya menggunakan bakrum dan getah.

Skirt yang bewarna hitam menggunakan zip sorok pada bahagian belakang, manakala skirt yang bewarna-warni pula menggunakan zip biasa. Kebetulan, masa menjahit zip sorok sudah habis, jadi terpaksalah guna zip biasa. Penggunaan zip sorok lebih kemas berbanding zip biasa. Kedua-dua skirt ini diperbuat daripada kain jenis cotton.

Akhir kata, selamat menjahit!

Scroll to Top